Monday, January 18, 2010

EDT 5390 GENERAL TEACHING METHODOLOGI
PENCERITAAN

TAJUK 1 : PERMOHONAN SI MISKIN DAN SI KAYA

Nabi Musa AS memiliki ummat yang sangat ramai dan dianugerahkan oleh Allah S.W.T umur yang panjang. Mereka ada yang kaya dan ada juga yang miskin. Suatu hari ada seorang yang miskin datang menghadap Nabi Musa AS. Ia begitu miskin, pakaiannya compang-camping dan sangat lusuh berdebu.
Si miskin itu kemudian berkata kepada Baginda Musa AS, "Ya Nabiullah, Kalamullah, tolong sampaikan kepada Allah SWT permohonanku ini agar Allah SWT menjadikan aku orang yang kaya." Nabi Musa AS tersenyum dan berkata kepada orang itu, "saudaraku, banyak-banyaklah kamu bersyukur kepada Allah SWT.” Si miskin itu agak terkejut dan kesal, lalu ia berkata, " Bagaimana aku mahu bersyukur, aku makan pun jarang, dan pakaian yang aku gunakan pun hanya satu lembar ini sahaja"!. Akhirnya si miskin itu pulang tanpa mendapatkan apa yang diinginkannya.

Beberapa waktu kemudian seorang kaya datang menghadap Nabi Musa AS. Orang tersebut bersih badannya juga rapi pakaiannya. Dia berkata kepada Nabi Musa AS, "Wahai Nabiullah, tolong sampaikan kepada Allah SWT permohonanku ini agar dijadikannya aku ini seorang yang miskin, terkadang aku merasa terganggu dengan hartaku itu.
Nabi Musa AS pun tersenyum, lalu dia berkata, "wahai saudaraku, janganlah kamu bersyukur kepada Allah SWT." "Ya Nabiullah, bagaimana aku tidak bersyukur kepada Alah SWT? Allah SWT telah memberiku mata yang dengannya aku dapat melihat. Telinga yang dengannya aku dapat mendengar. Allah SWT telah memberiku tangan yang dengannya aku dapat bekerja dan telah memberiku kaki yang dengannya aku dapat berjalan, bagaimana mungkin aku tidak mensyukurinya", jawab si kaya itu.Akhirnya si kaya itu pun pulang ke rumahnya.

Kemudian beberapa ketika selepas kejadian tersebut, terdengar si kaya itu semakin Allah SWT tambahkan kekayaannya kerana dia selalu bersyukur. Dan si miskin menjadi bertambah miskin. Allah SWT mengambil semua kenikmatan-Nya sehingga si miskin itu tidak memiliki selembar pakaian pun yang melekat di tubuhnya. Ini semua kerana ia tidak mahu bersyukur kepada Allah SWT.

KAITAN DENGAN ISI:
1. Topik Tingkatan 2, Bab Bersyukur.
2. Bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah dan jangan mengeluh dan merungut dengan kekurangan.

PENGGUNAAN DALAM PEMBELAJARAN:
1. Cerita ini boleh digunakan di pertengahan pembelajaran tajuk Bersyukur dengan menyelitkan kisah ini dan boleh juga digunakan di akhir pembelajaran.

TAJUK 2 : HIKMAH MENINGGALKAN CAKAP BOHONG

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Luqman Hakim, menceritakan pada suatu hari ada seorang telah datang berjumpa dengan Rasulullah S.A.W. kerana hendak memeluk agama Islam. Sesudah mengucapkan dua kalimah syahadat, lelaki itu lalu berkata:"Ya Rasulullah, sebenarnya hamba ini selalu sahaja berbuat dosa dan payah hendak meninggalkannya." Maka Rasulullah menjawab: "Mahukah engkau berjanji bahawa engkau sanggup meninggalkan cakap bohong?" "Ya, saya berjanji" jawab lelaki itu ringkas. Selepas itu, dia pun pulanglah ke rumahnya.
Menurut riwayat, sebelum lelaki itu memeluk agama Islam, dia sangat terkenal sebagai seorang yang jahat. Kegemarannya hanyalah mencuri, berjudi dan meminum minuman keras. Maka setelah dia memeluk agama Islam, dia mencuba sedaya upaya untuk meninggalkan segala keburukan itu. Sebab itulah dia meminta nasihat dari Rasulullah S.A.W.
Dalam perjalanan pulang dari menemui Rasulullah S.A.W. lelaki itu berkata di dalam hatinya, "Berat juga aku hendak meninggalkan apa yang dikehendaki oleh Rasulullah itu." Maka setiap kali hatinya terdorong untuk berbuat jahat, hati kecilnya terus mengejek. "Berani engkau berbuat jahat. Apakah jawapan kamu nanti apabila ditanya oleh Rasulullah? Sanggupkah engkau berbohong kepadanya" bisik hati kecil. Setiap kali dia berniat hendak berbuat jahat, maka dia teringat segala pesan Rasulullah S.A.W. dan setiap kali itulah hatinya berkata:"Kalau aku berbohong kepada Rasulullah bererti aku telah mengkhianati janjiku padanya. Sebaliknya jika aku bercakap benar bererti aku akan menerima hukuman sebagai orang Islam. Oh Tuhan....sesungguhnya di dalam pesanan Rasulullah itu terkandung sebuah hikmah yang sangat berharga."
Setelah dia berjuang dengan hawa nafsunya itu, akhirnya lelaki itu berjaya di dalam perjuangannya menentang kehendak nafsunya. Menurut hadis itu lagi, sejak dari hari itu bermula babak baru dalam kehidupannya. Dia telah berhijrah dari kejahatan kepada kemuliaan hidup seperti yang digariskan oleh Rasulullah S.A.W. Hingga ke akhirnya dia telah berubah menjadi mukmin yang soleh dan mulia.

KAITAN DENGAN ISI:
1. Topik Tingkatan 1, Bab Dosa-dosa Besar (bohong).
2. Menghindari perbuatan bohong dan berlaku jujur kepada diri sendiri serta orang lain.

PENGGUNAAN DALAM PEMBELAJARAN:
1. Boleh digunakan di akhir pembelajaran tajuk Bohong Adalah Tergolong dalam Dosa-dosa Besar sebagai penutup.

Sunday, January 17, 2010

EDT 5390 GENERAL TEACHING METHODOLOGY
KUIZ ANALITIKAL

NAMA : ERNY IZATUN SALWA BT KAMARUDDIN (G0910200)

SOALAN 1 : Topik Tingkatan 2, Bab Puasa.

Firdaus berpuasa pada 1 Ramadhan dan pada hari tersebut dia terpaksa pergi ke New Zealand selama 1 minggu. Beliau bertolak pada pukul 8.00 pagi. Perjalanan mengambil masa selama 12 jam dan akan tiba di New Zealand pada pukul 8.00mlm waktu Malaysia. Adakah wajib Firdaus berpuasa pada hari tersebut dan dalam tempoh 1 minggu tersebut?

RANGKA JAWAPAN :

1. Firdaus boleh meneruskan puasanya sekiranya berkemampuan dari segi fizikal.
2. Firdaus diharuskan untuk tidak berpuasa dalam tempoh 1 minggu tersebut kerana beliau dalam tempoh bermusafir.

SOALAN 2 : Topik Tingkatan 1, Bab Amanah.

Diana adalah seorang bendahari didalam kelas 5 Siddiq, setiap bulan akan diadakan kutipan untuk keceriaan kelas. Setelah sampai ke penghujung tahun persekolahan, masih ada baki dari wang tersebut lalu digunakan untuk membuat jamuan perpisahan akhir tahun. Setelah tamat jamuan tersebut, Diana mengira kembali wang tersebut masih ada baki yang jumlahnya tidak terlalu banyak dalam anggaran RM15 sahaja. Diana bertanya kepada ketua kelas bagaimana untuk mengembalikan wang tersebut? Ketua kelas memberitahu Diana supaya menggunakan sahaja wang tersebut untuk kegunaan sendiri kerana jumlahnya yang tidak terlalu banyak. Adakah dibolehkan Diana menggunakan wang tersebut?

RANGKA JAWAPAN :

1. Diana tidak boleh menggunakan wang tersebut kerana Diana dikatakan tidak amanah walaupun telah mendapat kebenaran dari ketua kelas. Ini kerana wang tersebut adalah wang pelajar-pelajar kelas 5 Siddiq, bukan wang ketua kelas.

2. Jika wang tersebut tidak dapat dikembalikan kepada pelajar-pelajar kelas, Diana seharusnya menyedekahkan wang tersebut kepada Masjid atau institusi islam yang boleh digunakan oleh pihak umum, bukan untuk kegunaan peribadi.

MATAHARI TERBIT



Gambar ini diambil pada 17/1/2010...

Thursday, January 14, 2010

Assalamualaikum.....

Assalamualaikum.....

Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya membina blog ni....walaupun saya bukannya org yang expert tentang benda ini...tetapi berkat kesabaran, tunjuk ajar dan sokong dari semua orang akhirnya tercipta lah blog ini....hehehehehe